Support

Syor solar panel di tapak pelupusan

Darulamanku Live | 8:40 PM | 0 Komen Penyokong


SWM cadang bangunkan teknologi baru 

JOHOR BAHRU: Syarikat pengurusan dan pelupusan sisa pepejal, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) bercadang membangunkan teknologi sistem solar panel di tapak pelupusan sampahnya sebagai alternatif mendapatkan tenaga diperbaharui.
Langkah itu bukan saja bertujuan menjana peralatan dan kelengkapan di tapak pelupusan syarikat, malah ke arah merealisasikan matlamat kerajaan dalam teknologi hijau selaras Program Transformasi Ekonomi (ETP) ditekankan Perdana Menteri.
Pengurus Besar Kumpulan SWM, Adnan Ibrahim, berkata syarikat itu sentiasa meneroka dan melaksanakan projek berkonsepkan teknologi hijau, khususnya dalam bidang pengurusan dan pelupusan sisa pepejal. 

Berikutan itu, katanya, sebagai permulaan, syarikat mengenal pasti tapak pelupusannya yang luas dan beralun sesuai bagi penjanaan tenaga elektrik dari cahaya solar matahari. 

Ketika ini, tapak pelupusan syarikat menggunakan minyak untuk menjana elektrik atau menerima saluran terus tenaga terbabit dari Tenaga Nasional Bhd (TNB). 

“Dengan penggunaan teknologi sistem solar panel, ia bukan saja dapat menjana tenaga diperbaharui, malah membolehkan penjimatan perbelanjaan syarikat,” katanya. 
Adnan berkata, syarikat baru-baru ini sudah menjalankan penutupan selamat terhadap dua daripada 13 bahagian sel di Tapak Pelupusan Sanitari Seelong yang mencapai had penuh kapasiti sampah. 

"Di dua sel ditutup ini, kita akan laksanakan projek perintis menjana tenaga elektrik melalui teknologi sistem solar panel sebagai percubaan awal. Menerusi projek, sebuah loji janakuasa solar akan dibangunkan untuk menghasilkan 2 Megawatt (MW) tenaga elektrik. 

"Jika berjaya, SWM akan mengembangkan projek ini ke semua 20 tapak pelupusan syarikat di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi. 

SWM ketika ini mempunyai 11 tapak pelupusan sampah iaitu Tapak Pelupusan Bukit Bakri (Muar), Jalan Bekeh (Tangkak), Pekan Nenas (Pontian), Jalan Kota Tinggi (Kluang-Kota Tinggi), Sungai Rengit (Kota Tinggi), Ladang CEP 1 (Simpang Renggam), Lebuh Raya Segamat-Kuantan (Segamat), Jalan Temayoh (Labis), Jalan Meta (Mersing) dan Pianggu, Mukim Endau (Mersing) selain Tapak Pelupusan Sanitari Seelong. 

Dalam perkembangan berlainan, syarikat konsesi serta kontraktor pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam itu dilaporkan memungut sejumlah kira-kira 814,306 tan metrik sampah di negeri ini sepanjang tahun lalu sebelum dilupuskan.

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 Komen Penyokong