Support

Mahalnya Barang Dan Kos Kehidupan Masa Kini.

Darulamanku Live | 8:27 AM | 0 Komen Penyokong


Bila harga minyak petrol naik, purata pengguna akan turut merasai kesan teori domino ke atas harga barang keperluan harian dan perkhidmatan.

Sejak kebelakangan ini kenaikan harga barang keperluan termasuk petrol seolah-olah menjadi perkara biasa namun ia membebankan kepada golongan berpendapatan rendah.

Pemilik kenderaan yang membayar RM1.85/liter untuk RON95 dan RM2.10/liter bagi RON97 pada Julai lepas kini membayar masing-masing RM1.90 dan RM2.90. Ramai pemilik kenderaan tidak begitu gemar petrol RON95, yang diberi subsidi tinggi, berikutan ia menjejaskan prestasi kenderaan sedangkan penggunaan RON97 meningkatkan perbelanjaan bulanan.

Harga bawang kecil dari India yang dijual pada harga RM4 sekilogram sebulan lepas kini dijual dengan harga RM14 di beberapa tempat, manakala harga sayur, ayam, ikan dan hampir semua barang keperluan telah naik sebaliknya tidak pula berlaku dalam pendapatan bersih orang ramai.
Ramai yang tidak sedar dengan kadar kenaikan yang begitu kerap hingga ada yang berputus asa dan hanya berharap harga akan stabil. Pada masa sekarang, para pengguna hanya membayar sahaja tanpa banyak soal kepada peniaga atau penyedia perkhidmatan kerana beranggapan harga mungkin akan naik lagi pada hari berikut.

PENGANGKUTAN YANG MAHAL
Kos pengangkutan awam bukan sahaja telah naik malahan menjadikan perjalanan sukar kepada pengguna.

"Teksi masih ada yang tak mahu guna meter untuk perjalanan dekat. Alasan mereka, tak berbaloi mengambil penumpang, kecuali perjalanan jauh atau pada harga yang dipersetujui dengan penumpang. Hakikatnya tambang tanpa meter lebih mahal daripada harga sepatutnya," kata Sawaliyah Mohd Nor yang terpaksa membayar kadar yang berlainan setiap kali menaiki teksi untuk pulang ke rumah, yang terletak hanya 7 kilometer dari sebuah stesen komuter di Lembah Klang.

Alasan pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter berikutan kehidupan mereka tertekan kerana harga barang semuanya naik dan mereka perlu mencari lebih wang.

Selain itu, bayaran sewa harian teksi yang perlu ditampung serta harga minyak yang semakin naik, turut menjadi faktor tambang teksi lebih mahal daripada kadar sebenar.
Kalau teksi, yang menggunakan gas asli atau NGV yang lebih murah, pula memberi alasan masa yang perlu diluangkan untuk beratur mendapatkan gas itu setiap kali ia perlu diisi, sebagai satu kehilangan pendapatan.
 
TAK PERASAN
Ada juga yang melalui pengalaman harian yang berlainan kerana harga barang yang diperlukan seolah-olah tiada beza sejak setahun yang lepas.

"Saya sering makan di kedai yang boleh tahan cantik dan bersih tetapi tak sedar pula kalau harga makanan di sana lebih mahal ataupun tidak? Nasi putih dengan lauk ikan goreng, sayur campur dua macam dengan air lobak merah, lebih kurang RM7 saja. Berpatutan harganya bagi saya. Saya rasa masih mampu untuk terus makan di situ," kata pesara kerajaan Abbas Hasan, yang kini pendidik secara kontrak di Nilai, Negeri Sembilan.

Mungkin harga ini dirasakan berpatutan di Nilai berdasarkan jumlah pengunjung yang sentiasa ramai.
 
PILIHAN TEPAT
Seorang pelajar Universiti Malaya beranggapan harga barang tidak akan pernah turun.

"Semuanya semakin tinggi. Cuma kita perlu pilih dengan berhati-hati dan pastikan pembelian tidak melampaui bajet seharian," kata Mildred dari Sabah.

Seorang pengusaha gerai makanan Siti Gayah Muhammad menjelaskan bagaimana harga makanan yang dijualnya ditetapkan.

"Kita tengok harga bahan mentah untuk lauk itu. Harga bawang kecil dan besar, putih dan merah, sudah naik berlipat kali ganda, stok pun payah ditemui. Harga sebiji bawang besar Holland bersaiz sederhana ialah 40 sen. Saya beli juga sebab bawang besar India cepat rosak. Akibatnya, sama ada masakan perlu dikurangkan penggunaan bawang atau harga dinaikkan dengan membeli bawang mahal," kata Siti sambil mengacau masakan lemak cili apinya dalam periuk.

Walaupun pembeli berungut, ia terpaksa dilakukan untuk memastikan penjual tidak rugi dengan masakan yang tidak sedap.
 
HARGA RUMAH KEDIAMAN
Selain kos perjalanan dan makanan yang semakin mahal, tanpa disedari harga bumbung kediaman tempat berteduh juga semakin tinggi.

Beberapa syarikat pembinaan yang ditanya mengenainya, rata-rata menyatakan projek yang menjadi tumpuan syarikat lebih cenderung ke arah rumah mewah seperti rumah dua tingkat, berkembar dua dan banglo.

Sebuah rumah teres dua tingkat yang sederhana sahaja kini boleh mencecah harga sehingga RM1 juta di Lembah Klang manakala banglo pula berharga tiga hingga empat kali ganda jumlah itu.

"Tumpuan syarikat kami ialah rumah yang lebih luas dan selesa. Kualiti pembinaan sememangnya yang paling utama. Bahan yang digunakan juga mempunyai gred yang lebih tinggi. Inilah sebabnya mengapa harga rumah di Selangor lebih tinggi.

Bak kata pepatah, alah membeli menang memakai!" jawab seorang pekerja syarikat perumahaan ketika ditanya mengenai harga rumah yang 30 peratus siap di kawasan projek terbarunya di Shah Alam.

Apa yang menjadi persoalan adakah pembeli mampu membayar ansuran bulanan kalau hanya bekerja makan gaji memandangkan nilai pinjaman yang perlu diambil sangat tinggi.
 
KOS BELANJA HARIAN
"Orang yang tinggal di bandar, yang berkereta ke pejabat, perlu berbelanja makan tengah hari pada hari bekerja, bayar tempat letak kereta bulanan, ada sewa rumah dan punya keluarga beranak dua pasti sukar untuk menyimpan RM500 sebulan," kata Datuk Dr Ma'amor Osman, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM apabila diminta memberi komen tentang peningkatan harga barang dan perbelanjaan harian warga Malaysia masa kini.

Kalau ada pembantu rumah sudah pasti lebih besar perbelanjaannya. Dengan pendapatan bersama, kelamin beranak dua, berumur lingkungan 30 tahun, yang berjumlah antara RM7,000 dan RM8,000, jika ingin tinggal di pinggir bandar pun pasti tidak selesa hidup jika rumah semahal itu menjadi pilihan untuk ditanggung liabiliti membayar pinjaman sehingga 35 tahun lamanya.

Bayaran bulanan kepada bank swasta, jika pinjaman sebesar RM$1 juta itu diambil hari ini, akan ditolak lebih RM$5,000 daripada pendapatan bersih mereka, katanya.
 
MASALAH KEWANGAN
Dr Ma'amor berkata harga barang yang mahal sudah tentunya menggalakkan penggunaan kad kredit dan amalan yang sepatutnya dikikis.

"Pastikan bajet tetap sama. Jangan berikan peniaga satu mesej yang salah. Mereka yang berpendapatan tetap tidak dapat mencari jalan keluar sekiranya harga barang terus naik.

"Misalnya bawang yang menjadi bahan utama dalam hampir semua masakan tempatan naik mendadak baru-baru ini akibat kesan cuaca. Dan ini menjadikannya satu bebanan baru. Mereka yang berniaga tak berapa merasai tambahan beban ini kerana jika harga barang naik, peniaga turut naikkan harga jualannya kepada pengguna," kata Dr Ma'amor.

Beliau melihat kos perkhidmatan pengangkutan awam yang meningkat adalah sesuatu yang perlu dikawal dan dipantau supaya rakyat tidak terus terbeban.

Tambahan pula kenaikan gaji tahunan sekiranya diberikan bukanlah tetap dan kadarnya pada kebiasaan tidak melebihi 5 peratus.

Harga tiket bas ekspres ke negara jiran Singapura meningkat kepada RM95 sehala berbanding tidak RM75 tahun 2010, lebih murah hanya RM4 berbanding harga tiket promosi kapal terbang ke republik ini.

Alasan kenaikan harga ialah kerana musim cuti sekolah.
 
KEADAAN CUACA
Harga barang yang semakin tinggi tidak boleh disalahkan kepada peniaga dan pembekal semata-mata, begitu menurut wakil FOMCA.

"Bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan cuaca kemarau yang melampau, yang melanda dunia, antara sebab kekurangan bekalan barang keperluan seharian. Lagipun kebanyakan sumber makanan negara ini diimport termasuk gula, tepung dan beras.

"Sudah lumrah, bila permintaan melebihi bekalan, pasti harganya meningkat secara semula jadi kerana bekalan yang teramat terhad ini," kata Mohd Yusof Abdul Rahman, pengarah komunikasi kumpulan gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, FOMCA kepada Bernama baru-baru ini.

Walau apapun, pengguna perlu membuat pilihan keperluan dengan berhati-hati bila harga tidak stabil.

"Barang keperluan biasanya akan stabil pada harga baru dan sekiranya bekalan pulih seperti sediakala, adakalanya penurunan semula harga tidak mendadak berbanding ketika ia dinaikkan. Kadang-kadang ia tak berlaku langsung. Carilah alternatif kalau boleh," Yusof berpesan.

Warga pengguna yang bijak membuat pilihan dan sanggup bersuara pasti akan dapat mengubah keadaan masa kini kepada tahap yang lebih baik.

FOMCA baru melancarkan album lagu tentang hak dan peranan pengguna untuk mengajak warga pengguna tempatan ke arah penggunaan berhemat.

Album yang memuatkan 9 buah lagu itu antaranya memberi fokus terhadap hak pengguna dalam membuat pilihan, untuk bersuara, mendapat alam sekitar yang sihat, pendidikan berguna dan mendapat perlindungan keselamatan.

Album ini akan diedarkan secara percuma kepada stesen media elektronik, peserta program kesedaran pengguna termasuk di sekolah-sekolah.

Pengguna yang bijak pasti akan menikmati kehidupan yang selesa dengan berbelanja berhemat dan mengikut kemampuan diri sendiri, memilih barang dan servis berkualiti yang bertepatan dan berpatutan harganya.
BERNAMA

Category:

About GalleryBloggerTemplates.com:
GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

0 Komen Penyokong