Support

Gejala Tidor Tak Cukup...

Darulamanku Live | 6:14 PM | 0 Komen Penyokong

TIDUR adalah terapi paling berkesan bagi tubuh untuk menghilangkan penat selepas seharian bekerja. Ia juga mampu menyegarkan kembali badan supaya lebih cergas dan bertenaga.
Pun begitu, sejak kebelakangan ini, ramai tidak mengambil berat kepentingan tidur disebabkan keperluan semasa, misalnya yang bekerja malam seperti pengawal keselamatan yang berjaga pada waktu tidur.

Bagi peminat fanatik bola sepak pula, ada yang sanggup tidak tidur semata-mata mahu mennonton perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) hingga awal pagi, hingga menyebabkan produktiviti kerja terganggu akibat tidak cukup tidur.
Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Haizal Haron Kamar, berkata kajian terhadap 70,000 wanita pada 2003 mendapati, mereka yang tidur kurang lima jam mempunyai 50 peratus risiko mendapat penyakit jantung, enam jam tidur pula meningkatkan 20 peratus risiko penyakit berkenaan, 10 peratus risiko untuk tidur tujuh jam berbanding mereka yang tidur lapan jam sehari.
Keletihan yang terlampau.
Bukan itu saja, wanita yang terlebih tidur, sembilan jam atau lebih juga mempunyai 38 peratus risiko mendapat serangan penyakit jantung.
Kajian terbaru yang dijalankan Journal Of American Medical Association (Jama) pada Disember 2008 pula mendapati, purata kurang daripada satu jam tidur setiap malam meningkatkan risiko deposit kalsium dalam saluran arteri yang membekalkan darah kepada jantung sebanyak 16 peratus.

Dalam pada itu, 27 peratus daripada mereka yang tidur kurang lima jam setiap malam, menunjukkan plak berlemak (atherosclerotic plaque) pada jantung manakala 11 peratus yang tidur lima hingga tujuh jam dan hanya enam peratus tidur lebih tujuh jam setiap malam menunjukkan penyekatan aliran darah pada saluran arteri (atherosclerosis).

“Tidur sememangnya penting kepada manusia. Tidur yang tidak mencukupi boleh mendatangkan banyak masalah, terutama di segi kesihatan, apatah lagi dengan keadaan masa kini yang sememangnya berbeza dengan dulu.

“Saya melihat fenomena tidak tidur sememangnya berada pada tahap serius, apatah lagi dengan kewujudan deretan kedai makanan segera dan serbaneka 24 jam,” katanya.

Menurutnya, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tidur masih kurang dan tidak diambil berat.

Ramai menganggap kurang tidur hanya masalah kecil kerana tidak mengetahui risiko sebenarnya yang sebenar.

“Bagi mendapatkan cara tidur yang mudah dan selesa, jangan mengambil minuman mengandungi kafein yang tinggi, misalnya kopi.

“Sebaik-baiknya, elakkan daripada minum kopi lebih dua cawan pada waktu malam bagi memudahkan proses tidur.

“Tidur membenarkan jantung untuk berdegup perlahan dan tekanan darah menurun mengikut kadar sewajarnya jantung manusia berfungsi.

“Sebaliknya, individu yang tidur untuk jangka masa pendek berupaya meningkatkan purata kadar tekanan darah tinggi dan degupan jantung purata 24 jam yang menyebabkan sistem kardiovaskular berfungsi pada tekanan tinggi hingga memberi kesan kepada jantung dan otak,” katanya.

Jelasnya, tidur awal dapat membantu individu mengelak mengambil makanan berlebihan yang menyumbang kepada gejala tidak sihat, misalnya masalah sukar tidur dan obesiti.

“Jika tidur lewat, misalnya melewati jam 12 tengah malam, pasti perut berasa kosong seterusnya meminta untuk diisi.

“Pastinya ia mendorong kita mengambil makanan dan mengajak rakan keluar minum teh tarik dan roti canai.

“Bayangkan kadar lemak yang diambil. Ada kalanya, tanpa disedari, sesetengah individu akan melepak hingga lewat pagi dan keesokannya perlu bekerja.

“Sudah tentu sedikit sebanyak ia menjejaskan prestasi kerja kerana masuk pejabat dalam keadaan mengantuk dan lesu,” katanya yang berharap masyarakat lebih sedar mengenai masalah yang timbul akibat kurang tidur selepas ini.

Seterusnya keputusan kajian Jama yang disiarkan pada 2006, mendapati 24 peratus individu yang tidur kurang daripada lima jam pada waktu malam lebih mudah mendapat tekanan melampau berbanding hanya 12 peratus individu yang mendapat tidur tujuh hingga lapan jam.

“Sebagai pakar kardiologi yang mempromosikan kesihatan, saya menggalakkan pesakit supaya makan makanan sihat, menurunkan berat badan, senaman berterusan dan berhenti merokok, selain mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti,” katanya.

Menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard, lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur lena lebih berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi.

Kajian ke atas 784 pesakit yang disiarkan dalam jurnal Hypertension mendapati, mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan masalah kesihatan lain.

Menurut pakar, kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, sekali gus memaksa jantung berdegup lebih pantas.

Namun demikian, tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga petanda kepada pelbagai penyakit, termasuk kardiovaskular.

Pengerusi Forum Obesiti Kebangsaan, Dr David Haslam, berkata kajian yang berterusan menunjukkan semakin singkat tempoh tidur seseorang, semakin tinggi risikonya mengalami obesiti.


Anda amalkan ayat ini jika anda berasa keletihan Insyallah semoga Allah akan berikan kekuatan untuk teruskan kerja anda:



“Orang ramai mengambil ringan soal tidur, maka ia tidak mungkin membantu menghilangkan berat badan, tetapi sebenarnya ia meningkatkan selera makan,” katanya.

Antara simptom dialami apabila kurang tidur:
  • Mempunyai mata bengkak
  • Sering letih dan rasa tertekan pada waktu pagi dan malam
  • Sering tertidur ketika di khalayak ramai
  • Kurang aktif dan kurang mempunyai hubungan sosial
  • Sukar menumpukan perhatian kepada isu yang dibincangkan dan tidak fokus
  • Sering menghadapi masalah kesihatan seperti kejang otot, sakit perut dan pening
  • Sukar tidur, sering terjaga malam atau terjaga terlalu awal
  • Takut waktu tidur kerana risau susah tidur
  • Mudah tersinggung
  • Mengambil ubat-ubatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini
  • Sering menggunakan rokok, alkohol dan ubat untuk menenangkan diri sebelum tidur.
  • Category:

    About GalleryBloggerTemplates.com:
    GalleryBloggerTemplates.com is Free Blogger Templates Gallery. We provide Blogger templates for free. You can find about tutorials, blogger hacks, SEO optimization, tips and tricks here!

    0 Komen Penyokong